Thursday, July 22, 2010

Snouck Hurgronje


Oleh Hafidzi Mohd Noor

Jauh sebelum Hurgronje mendapat kepercayaan untuk mengisi jawatan Advisor Kantoor Voor Inlandshe Zaken (Penasihat hal-hal rakyat pribumi), beliau telah lebih dahulu melawat ke Jeddah pada tahun 1884 selama lima bulan dan di Mekah selama tujuh bulan. Beliau mengunjungi Mekah di luar musim haji supaya dapat berinteraksi dengan ulama-ulama Mekah, meneliti bahan-bahan bacaan dan juga memerhatikan umat Islam Hindia Belanda yang ada di sana. Ternyata di Mekahlah terletaknya jantung kehidupan Islam yang sentiasa mengepam darah segar ke seluruh penduduk Islam di Hindia Belanda.

Atas pertanyaan bagaimana beliau boleh berada di Mekah yang hanya boleh dikunjungi oleh umat Islam, jawapannya ialah beliau mengisytiharkan dirinya beragama Islam dan memakai nama Abdul Ghafur al-Hulandi. Ada sumber yang menyebutkan beliau diislamkan oleh Abu Bakar Djajadiningrat yang bekerja di pejabat Konsulat Belanda di Jeddah. Malah ada yang mendakwa dia diislamkan oleh Qadi Jeddah setelah dia duduk bersama Abu Bakar. Hurgronje sendiri mendedahkan di dalam buku catatan hariannya bahawa beliau dikunjungi oleh Qadhi Jeddah, Ismail Agha bersama dua orang yang dikirim oleh Wali Jeddah. Dua hari berikutnya, Qadhi Jeddah kembali untuk menjemputnya masuk ke Mekah atas undangan Gabenor Hejaz. Adalah mustahil bagi Hurgronje memasuki Mekah bahkan atas undangan Gabenor Hejaz jika beliau bukan Muslim. Surat yang beliau terima daripada S. Aziz, orang Aljazair (Algeria) yang diasingkan oleh Perancis ke Mekah berbunyi, “Anda telah menyatakan diri Muslim dan para ulama Mekah menjadi saksi atas keislamanmu.”

Walaubagaimanapun sehingga kini Islam atau tidaknya Hurgronje menjadi perbahasan ahli-ahli sejarah. Ramai yang mempersoal kejujuran Hurgronje memeluk Islam dan mendakwa ia sebagai muslihat politik beliau semata-mata. Sesuatu yang jelas ialah beliau tidak menunjukkan keislamannya setelah kembali ke Belanda.

Apapun, pembawaannya berjaya meyakinkan ulama-ulama di Mekah sehingga beliau digelar ‘mufti Batavia’ (Jakarta pada zaman penjajahan Belanda) dan ‘Syeikhul Islam Djawa’. Malah, beliau sempat berkahwin dengan dua orang gadis tempatan, kedua-duanya merupakan anak penghulu. Gadis pertama bernama Sangkana, anak Raden Haji Muhammad Ta’ib, penghulu besar Ciamis. Setelah Sangkana meninggal dunia kerana keguguran, Hurgronje menikah lagi dengan Sadiyah, anak Kalipah Apo, yang bertugas di bawah H Hasan Mustapa ketika beliau menjawat sebagai Penghulu Besar di Bandung. Baik isteri, mentua mahupun Hasan Mustapa sendiri yakin bahawa Hurgronje adalah Muslim yang ikhlas. Kenyataannya, mana mungkin Hurgronje mengahwini anak tempatan jika beliau tidak ‘beragama Islam’.

Hurgronje memang mempunyai latar belakang akademik yang memungkinkan ia menjalankan tugas sebagai penasihat pemerintah Hindia Belanda. Bidang iktisasnya ialah teologi Islam dan Bahasa Arab, lulusan Universiti Leiden. Kunjungannya ke Mekah melengkapkan lagi pengetahuannya tentang Islam. Interaksi dengan umat Islam di sana memberi beliau kesempatan untuk membetulkan beberapa tanggapan pemerintah Belanda ke atas umat Islam. Di antaranya ialah jemaah haji yang datang ke Mekah tidak perlu dicurigai kerana mereka hanya menjalankan tuntutan ibadah ritual. Tindakan pemerintah yang cuba menghalang jemaah haji hanya akan menjadikan mereka lebih radikal kerana kebebasan beribadat perlu dipertahankan sebagai hak setiap individu. Hurgronje menjangkakan ibadah yang menjadi rutin umat Islam tidak perlu dihalang kerana logiknya ‘jika kita meletakkan harga yang tinggi ke atas sesuatu produk, justeru hanya meningkatkan permintaan ke atas produk tersebut’. Hurgronje menganggap umat Islam akan beransur-ansur meninggalkan agama mereka melalui proses evolusi yang natural.

(Sedutan buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid 5 terbitan JIMedia)


Jom ke SEMINAR: ISLAM @ NUSANTARA pada 31 Ogos 2010. Maklumat lanjut di bahagian kanan blog ini. Terima kasih.

Tuesday, July 20, 2010

SEMINAR: ISLAM @ NUSANTARA

31 Ogos 2010 (Selasa) · 8:30am - 1:30pm
Auditorium B, Kuliyyah Engineering, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

Speaker: Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor (penulis buku bersiri "Jejak Risalah di Nusantara")

Antara tajuk utama yang akan dikupas oleh beliau:

1. Apa yang diwariskan Islam kepada Nusantara?
2. Siapa Snouck Hurgronje?
3. Sejarah Melaka dalam konteks yang global
4. Tok Janggut dan Khilafah Uthmaniyah
5. Ulama Nusantara di Tanjung Pengharapan (Afrika Selatan)

Dan lain-lain lagi....

Yuran: RM30.00 sahaja

Tempat terhad kepada 150 orang sahaja!

Bagi anda yang berminat, sila berikan nama penuh dan no. telefon ke alamat email - wanam.selfpride@gmail.com

Untuk pertanyaan, sila hubungi En. Wan Muhammad - 012-6615745

Sekian, terima kasih.