Wednesday, January 18, 2012

Liputan ringkas SEMINAR ADMIRAL MUHAMMAD CHENG HO

Tarikh: 14 Januari 2012 (Sabtu)
Tempat: Dewan Seminar, Kompleks Pusat Pendidikan Al-Amin Gombak
Masa: 9.00 pagi - 1.00 petang
Penyampai: Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor



[1]

Parameswara yang memeluk agama Islam telah menerima jemputan dari Cheng Ho untuk mengadap Maharaja Yung Lo. Baginda berangkat dengan 450 orang pengiring. Sewaktu berangkat pulang pelbagai hadiah dipersembahkan, di antaranya emas, perak, kain sutera dan kain sutera bertekat emas. Di samping itu beberapa orang ahli pertukangan turut dibawa pulang untuk membangunkan masjid di negeri Melaka. Tidak hairanlah masjid-masjid terawal di Melaka menunjukkan ciri-ciri seni bina Cina yang ketara. (Rujukan: HAMKA; Sejarah umat Islam jilid IV, hlm 449).

Gelaran Raja Melaka dianugerahkan oleh kaiser Yung Lo. Kedatangan Parameswara disambut oleh perutusan kerajaan (Imperial delegate) Ha Shoui yang berangkat ke bandar Canton. Kepala perutusan ini adalah seorang muslim dari keluarga Hai. Sebagaimana Ma adalah sengkatan kepada Muhammad maka Hai itu berasal dari perkataan Khaibar.
Menurut Ma Huan, pencatat Adfmiral Zheng He, Parameswara pulang dengan memakai gelar Sultan iskandar Shah (Xa-quen-der-sha)
(Rujukan: Hj Ibrahim T.Y. Ma -Perkembangan Islam di Tiongkok, 1979, hlm 140-141)


(Gambar menunjukkan masjid Tengkera yang dibina bermodelkan Masjid pertama yang dibina di Melaka dgn bantuan pembuat masjid yang dikirim oleh Maharaja Young Le, Kaiser Dinasti Ming)

[2]

Sebelum berangkat Zheng He (Cheng Ho) dikatakan mengerjakan sembahyang berjemaah bersama anggota-anggota rombongannya. Satu sumber sejarah menyebut bilangan anggota rombongannya ialah seramai 27,500 orang dan sebahagian besar dari mereka adalah muslim. Pembantu beliau (vice admiral) bernama 'Hoe Hsein' iaitu sebutan Hussein dalam bahasa Cina.

Ini dilaporkan semasa Cheng Ho mengepalai pelayaran yang keempat yang terdiri dari 63 buah kapal. Beliau telah bersembahyang jemaah dengan semua anggota rombongannya di Masjid Raya di San Shan Chih, Nanking. Lihat Ibrahim (hj.) Tien Ying Ma, Perkembangan islam di Tiongkok (1979)., hlm. 148.



[3]

Catatan tentang Mekah boleh dirujuk dalam catatan Fei Hsin juru tulis Cheng Ho yang berjudul Tsing Cha Sheng Lan di mana Mekah dirujuk sebagai Tien Fang yang bermaksud ‘Ka’abah’. Beberapa orang ahli sejarah mendakwa Cheng Ho sempat mengerjakan haji dan umrah dalam salah satu dari misi pelayarannya. Namun yang sebenarnya hajat beliau tidak kesampaian untuk menziarahi tanah suci.

Ini adalah berdasarkan kepada cerita lisan dari keturunan ke 19 anak saudara angkat Cheng Ho yang bernama Tseng Tsi Hai. Katanya ‘Satu penyesalan Zheng He ialah hasratnya ke tanah suci tidak kesampaian’. Beliau meninggal dunia dalam misi pelayarannya yang terakhir iaitu pada tahun 1433. Setahun sebelumnya ketika beliau uzur beliau telah mengirim tujuh orang anggota ternasuk Ma Huan berkunjung ke Mekah. Lihat Yuangzhi, K., 2000. Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, Penerbit Univ. Kebangsaan Malaysia



[4]

Pada pertengahan kurun ke 15 (sekitar 1440'an) China mengamalkan dasar tutup pintu (closed door policy). Pada akhir kurun ke 15 muncullah kapal-kapal perang dari Portugis dan Sepanyol di Laut Sulu, laut Makassar, Laut China Selatan, Selat melaka, Lautan Hidi. Teluk Benggala. Apa bakal terjadi jika ditakdirkan mereka bertemu?

Mungkin apa yang ditulis oleh Levathes dalam bukunya 'When China ruled the seas' memberi sedikit gambaran apa yang mungkin terjadi.

Zheng He dan Vasco da Gama berselisih masa di Afrika selama lapan puluh tahun. Seseorang terfikir apakah yang bakal terjadi sekiranya mereka bertemu. Menyedari kekuatan angkatan laut Ming yang tiada tolok bandingnya, apakah da Gama dengan kapal kecil berukuran lapan puluh lima hingga seratus kaki panjang itu berani meneruskan pelayaran menyeberangi Lautan Hindi? Tidakkah setelah terlihat kapal-kapal Portugis yang telah uzur itu, Admiral berbangsa Cina itu tidak teruja untuk memusnahkan kapal-kapal kecil dalam laluannya, menghalang bangsa Eropah dari membuka laluan perdagangan timur-barat?

(Zheng He and Vasco da Gama missed each other in Africa by eighty years. One wonders what would have happened if they had met. Realizing the extraordinary power of the Ming navy, would da Gama in his eighty-five to a hundred foot vessels have dared continue across the Indian Ocean? Seeing the battered Portuguese boats, would the Chinese admiral have been tempted to crush these snails in his path, preventing the Europeans from opening an east-west trade route?)

No comments:

Post a Comment