Tuesday, August 24, 2010

Krakatoa, Tsunami 1883 dan Kebangkitan Islam

Oleh Hafidzi Mohd Noor

Seorang penulis sejarah, Simon Winchester menghasilkan karyanya yang berjudul ‘Krakatoa: The day the world exploded – 27 August 1883’ (terbit 2003) mendakwa bahawa peristiwa ini mencetuskan kebangkitan ‘Islam militan’ di Indonesia. Simon Winchester menulis:

“The great blast also sounded the death knell for colonial rule in Indonesia. Radical mullahs preached that the eruption was the revenge of Allah against the archipelago's infidel rulers and those who served them. They declared jihad in 1888, and there followed an orgy of killing directed at European men, women and children. Though the rebellion was soon crushed, Winchester notes that today it "is regarded very much as a way-station on the route to eventual Indonesian independence.”

(Ledakan besar itu juga menandakan berakhirnya pemerintahan kolonial di Indonesia. Para mullah yang radikal berkhutbah bahawa ledakan gunung berapi itu adalah kemurkaan Allah terhadap pemimpin-pemimpin yang kafir di kepulauan tersebut dan sesiapa yang taat kepada mereka. Mereka mengisytiharkan jihad pada tahun 1888 dan ini diikuti dengan pembunuhan membabi-buta ke atas masyarakat Eropah termasuk wanita dan kanak-kanak. Meskipun pemberontakan itu dapat dipatahkan, Winchester merakamkan pada hari ini, peristiwa tersebut dianggap sebagai batu tanda dalam perjalanan Indonesia mencapai kemerdekaannya).

Masyarakat pribumi sering mengaitkan gunung berapi dengan kediaman para dewa. Penulis ini mendakwa golongan ulama dan santri yang sibuk mengislamkan penduduk Hindu telah mengambil kesempatan ini untuk menghasut mereka supaya meninggalkan agama tersebut dan di samping itu memberontak ke atas penjajahan Kompeni Belanda. Peristiwa ini dilihat sebagai satu isyarat betapa Allah yang Maha Kuasa tidak reda dengan penjajahan yang berlaku ke atas umat Islam.

Memang terjadi kejadian serangan ke atas pos-pos kawalan Kompeni selepas kejadian ini. Namun, untuk mengatakan bahawa ledakan Krakatoalah yang menyebabkan kebangkitan umat Islam untuk membebaskan diri daripada penjajahan adalah jauh daripada kenyataan sejarah. Sememangnya berlaku kebangkitan santri pada tahun 1888 di Banten, namun ia adalah rentetan perjuangan yang berterusan sejak tahun 1834 lagi, apabila umat Islam Banten berusaha untuk melepaskan diri daripada polisi tanam paksa Belanda di samping isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam seperti yang akan dihuraikan.

Kurun ke-19 memang menyaksikan perlawanan bersenjata umat Islam ke atas VOC. Antaranya Perang Paderi (1821-1837) di Sumatera Barat, Perang Diponogoro (1825-1830) di Jawa Barat, Perang Banten (1834-1888), Perang Aceh (1873-1905) dan perlawanan Si Singamangaraja XII di Tapanuli/Batak (1877-1907). Pada kurun yang ke-19 juga tercatat beberapa bencana alam dan wabak yang menular di sebahagian besar Kepulauan Indonesia. Berbanding letupan gunung berapi Krakatoa, letupan gunung berapi Tambora di Pulau Sumbawa membawa bencana pada skala yang lebih besar. Di samping 10,000 orang terbunuh akibat letupan gunung berapi, 38,000 nyawa lagi melayang kerana kebuluran yang menyusul selepas kejadian tersebut. Pulau-pulau yang berhampiran turut menerima kesan langsung daripada letupan gunung berapi Tambora sehingga bilangan keseluruhan penduduk yang terbunuh di Pulau Sumbawa, Bali dan Lombok mencecah 117,000 orang. Menurut Clive Oppenheimer, letupan gunung berapi Tambora telah menjejaskan iklim dunia, yang mana pada tahun 1816 iaitu setahun selepas kejadian, dinamakan Tahun Tanpa Musim Panas (Year Without a Summer) kerana kesan debu gunung berapi kepada iklim di Amerika Utara dan Eropah. Natijah daripadanya tanaman dan ternakan musnah di hemisfera utara sehingga mencetuskan kebuluran terburuk pada kurun ke-19. Sebuah lagi gunung berapi aktif di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah memuntahkan lavanya sejak 400,000 tahun yang lalu. Tercatat dalam sejarah, letupan besar berlaku pada tahun 1006, 1786, 1822, 1872 (letupan terbesar dalam sejarah) dan 1930 (yang memusnahkan 13 buah kampung dan membunuh sekitar 1,400 penduduk).

Pada keseluruhannya terdapat sekurang-kurangnya 129 gunung berapi aktif yang bertaburan di Indonesia kerana kedudukannya di dalam kawasan lingkaran api Pasifik (Pacific Ring of Fire). Ini juga menjelaskan kejadian gempa bumi yang kerap berlaku dari masa ke masa, di antaranya yang mendatangkan kemusnahan yang besar seperti di Sumatera Barat pada tahun 1797 dan 1833; dan yang terkini seperti di Aceh pada tahun 2004 dan Nias pada tahun 2005.

Di samping bencana alam, Nusantara juga dilanda pelbagai wabak penyakit seperti taun, disenteri dan cacar. Malah, ketika Belanda melancarkan serangan ke atas Aceh pada tahun 1873 dan 1874, sebahagian besar daripada tentera Belanda dan pejuang Aceh terkorban kerana wabak taun. Penularan wabak pada haiwan ternakan juga sering berlaku sehingga menjejaskan ekonomi penduduk kampung dan mencetuskan keadaan huru-hara seperti yang berlaku di Celigon, Banten pada tahun 1888. Penularan wabak ini ada kaitannya dengan letupan gunung berapi Krakatoa dan gelombang tsunami yang memusnahkan Banten.

Kerajaan Hindia Belanda telah mengambil langkah drastik untuk mengawal wabak tersebut daripada menular dengan membunuh semua kerbau ternakan penduduk kampung. Kesabaran penduduk benar-benar teruji apabila askar-askar Kompeni membunuh kerbau dengan sewenang-wenangnya. Jika ada penduduk yang cuba menghalang, maka muncung senapang dibidikkan pula kepada tuan yang empunya.

Para ulama telah menggesa masyarakat supaya bersabar dan mengajak masyarakat berzikir memohon perlindungan daripada bala yang menimpa. Penduduk benar-benar tertekan akibat kekurangan makanan yang berpunca daripada bencana alam dan wabak penyakit, ditambah pula dengan pelbagai bentuk cukai dan sewa yang perlu dijelaskan kepada pemerintah (ini akan disentuh dalam bab seterusnya). Dalam suasana tersebut ulama menjadi rujukan dan tempat untuk umat membina kekuatan atas landasan akidah yang bersih daripada sebarang bentuk penyelewengan. Salah seorang ulama tersebut ialah Haji Wasith yang pulang dari Mekah setelah berguru dengan Syeikh Nawawi al-Banten yang terkenal itu.

Dalam kalangan orang awam pula akidah tauhid masih bercampur dengan kepercayaan lama. Mereka mempercayai tempat-tempat yang dianggap keramat dan perlu dipuja dengan menyediakan ‘sesajen’. Mereka yakin tempat-tempat yang dianggap keramat itu boleh membantu mereka keluar daripada kesusahan atau menyampaikan hajat mereka terutama pada saat berhadapan dengan bencana, wabak penyakit dan musibah lain. Kebetulan di Celigon, Banten ada sebuah pohon besar yang dianggap keramat oleh penduduk setempat. Berkumpullah penduduk kampung memuja pohon keramat itu dan memohon agar mereka terhindar daripada malapetaka dan kesusahan.

Haji Wasith dan para santri (guru-guru agama) dengan tegas membidas amalan khurafat yang membawa kepada syirik. Namun, ia mendatangkan keuntungan ekonomi kepada setengah pihak. Pokok keramat yang menjadi tumpuan orang ramai kini menjadi sumber pendapatan. Setelah nasihat dan teguran tidak diendahkan, Haji Wasith dan anak-anak muridnya mengambil keputusan nekad untuk menebang pokok keramat tersebut. Esoknya apabila penduduk kampung datang untuk upacara pemujaan, mereka dapati pohon tersebut sudah ditebang dan hanya tinggal tunggul sahaja. Bukan main marah lagi penduduk kampung.

Namun pihak yang lebih marah ialah orang yang melindungi pokok tersebut. Aduan dibuat kepada asisten wedana bahawa tanahnya telah diceroboh oleh Haji Wasith. Haji Wasith dipanggil ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman denda. Hukuman tersebut dianggap sebagai satu penghinaan oleh anak-anak muridnya dan tindakan tersebut dilihat sebagai usaha penjajah mencampuri urusan umat Islam.

Dalam pada itu, umat Islam disinggung pula dengan tindakan seorang asisten residen Belanda, Goebels yang memerintahkan supaya azan dan tarhim pada waktu Subuh diperlahankan kerana katanya, “Tuhan Allah tidak pekak!” Kerana tidurnya terganggu, Goebels telah mengarahkan agar menara langgar (surau) yang berhampiran rumahnya dirobohkan. Hukuman denda ke atas Haji Wasith kerana membela perbuatan syirik dan tindakan merobohkan menara masjid, di samping tertekan dengan krisis makanan dan ancaman penyakit membuatkan penduduk hilang sabar. Di bawah pimpinan Haji Wasith dan Kiyai Tubagus Ismail, penduduk Banten telah mengepung Cilegon pada 9 dan 10 Julai 1888. Dengan takbir dan tahlil mereka menyerang kota Cilegon dan membunuh pegawai-pegawai Belanda dan orang-orang tempatan yang berkhidmat dengan pemerintah. Ahli keluarga mereka termasuk wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa pembunuhan penduduk yang memberontak. Asisten Residen Goebels turut terbunuh akibat menderita luka-luka dalam pertempuran.

Seperti dijangka, pemerintah Hindia Belanda berjaya mengawal keadaan setelah menghantar pasukan bantuan dari Serang. Bergelimpanganlah pula para pemberontak di tangan askar-askar VOC yang lengkap bersenjata. Haji Wasith turut terbunuh dan yang tertangkap dijatuhkan hukuman gantung jika sabit kesalahan membunuh rakyat Belanda dan pegawai kerajaan. Ramai juga daripada pimpinan yang diasingkan ke tempat-tempat yang jauh seperti Pulau Banda, Bukittinggi (Sumatera Barat), Gorontalo (Sulawesi), Buton (Sulawesi Selatan) dan Flores (Nusa Tenggara).

Peristiwa ini memberikan pelajaran yang sangat penting kepada pemerintah Belanda agar menjaga sensitiviti umat Islam dan menjaga perasaan mereka sebelum melakukan sebarang tindakan. Dalam pada itu, atas nasihat Snouck Hurgronje, ahli masyarakat yang berpegang teguh dengan Islam dituduh ‘fanatik’. Justeru, kerana takut dicop fanatik, ada dalam kalangan umat Islam yang berusaha untuk membuktikan bahawa mereka cukup toleran supaya tidak digolongkan sebagai golongan fanatik. Begitu lemahnya jiwa mereka sehingga ada yang pulang daripada mengerjakan haji tetapi demi merebut kepercayaan Belanda, telah mengadakan pesta dengan menjemput pegawai-pegawai Belanda dan peniaga-peniaga Cina yang kaya; dan dalam pesta itu minuman keras dihidangkan… agar tidak dianggap ‘fanatik!’

Kebangkitan di Celigon, Banten ini membuktikan bahawa ia tiada kena-mengena dengan bencana alam. Kesan daripada bencana boleh mengakibatkan keresahan masyarakat akibat daripada kemusnahan yang berlaku. Keresahan ini boleh memuncak kepada kemarahan yang tidak terkawal kepada pemerintah Belanda. Namun, seruan jihad hanya berlaku apabila umat Islam merasakan agamanya tercabar.

Bagi umat Islam, semua kejadian berupa bencana alam, penyakit dan musibah adalah satu bentuk ibtila’ (ujian) dan peringatan. Setiap kejadian buruk ini mendatangkan keinsafan agar umat Islam melakukan refleksi dan bangkit untuk melakukan pengislahan diri. Mereka sekali-kali tidak mentafsirkan kejadian gempa bumi dan letupan gunung berapi sebagai kemurkaan Tuhan ke atas orang-orang kafir.

(Petikan buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 5 terbitan JIMedia)


SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.

Monday, August 16, 2010

HAMKA - Ulama dan Pujangga Nusantara

Oleh Hafidzi Mohd Noor



Tidak ramai ulama yang mempunyai bakat seperti Buya HAMKA. Dia seorang kiyai (ulama) di samping seorang pujangga, sasterawan, budayawan, wartawan, pendidik dan tokoh pemimpin baik dalam bidang kemasyarakatan mahupun politik. Buya HAMKA amat dikenali dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya pada tahun-tahun 1970-an yang amat senang dengan kuliah beliau yang penuh hikmah, lembut dan sarat dengan nilai-nilai falsafah. Bagi peminat kisah-kisah roman (cereka), novel-novel beliau sehingga hari ini seperti ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Vick’, ‘Menunggu Beduk Berbunyi’, ‘Di Lembah Kehidupan’, ‘Merantau ke Deli’, ‘Keadilan Ilahi’ dan ‘Di Bawah Lindungan Ka’abah’ masih diulang cetak dan menjadi bahan kepustakaan sastera Melayu yang sangat bernilai. Nilai-nilai seperti cinta, pengorbanan dan kesetiaan diadun di dalam novelnya berlatarbelakangkan realiti masyarakat pada zamannya yang melalui peralihan zaman sehingga menimbulkan konflik di antara kongkongan adat setempat dan tradisi dengan keluasan serta kesejagatan Islam yang progresif.

HAMKA, satu nama yang tidak asing kepada dunia Islam khususnya di Nusantara adalah nama pena dan singkatan kepada nama penuhnya Hj. Abdul Malik Karim Amrullah. Beliau dilahirkan di Padang Panjang, Pariaman, Sumatera Barat pada tahun 1908. Kampung halamannya yang terletak di danau Maninjau serta dikelilingi oleh Banjaran bukit Barisan yang indah itu besar pengaruhnya dalam membentuk jiwa seni dan kesusasteraannya yang halus. Pada usia remaja lagi beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama ’Si Sabariah’. Pengaruh didikan ayahnya, Hj. Abdul Karim Amrullah (telah disentuh dalam bab yang lebih awal), seorang ulama progresif sangat besar dalam membentuk keperibadiannya. Polemik di antara kaum tua dan ayahnya yang mendukung fahaman ‘kaum muda’ melatari zaman kanak-kanaknya. Beliau juga dibesarkan pada saat kefahaman Komunis mula menular di Sumatera sehingga ramai anak-anak murid ayahnya yang mendapat pendidikan di Sumatera Tawalib (institusi yang dibangunkan oleh ayahnya) terpengaruh dengan ideologi tersebut; suatu yang sangat mengecewakan ayahnya.

Sebenarnya, hubungan HAMKA dengan ayahnya terjejas apabila berlaku perceraian di antara ayah dan ibunya; dan ayahnya berkahwin lain. Semasa usianya meningkat kepada 13 tahun, ayah dan ibunya bercerai. Perceraian ini mengakibatkan jiwa remajanya memberontak dan beliau mula bergaul dengan golongan parewa. Beliau menghabiskan banyak waktu di luar berpencak, menari piring dengan memakai destar, menyaksikan perlawanan pacuan kuda, tempat orang berjudi dan menyabung ayam. Kerana sikapnya yang degil, beliau disebut sebagai anak nakal dan durjana yang tidak dapat dibaiki lagi. Satu sahaja kelebihan yang ada pada si Malik (panggilan orang kampung sewaktu kecil) iaitu beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang.

Bagi HAMKA, pengalaman pahit yang dilaluinya adalah natijah daripada kongkongan adat perpatih yang menjadi pegangan masyarakat Minangkabau. Kerana itu beliau mempunyai pandangan yang kritikal terhadap adat Minangkabau dan buah fikirannya ditumpahkan ke dalam dua buah buku iaitu ’Adat Minangkabau dan Agama Islam’ (buku ini diharamkan oleh Belanda) dan ’Adat Minangkabau Mengalami Revolusi’. Bahkan jika dihayati novel yang dikarang seperti ’Merantau ke Deli’ dan ’Keadilan Ilahi’, amat jelas HAMKA menjadikan penulisan popular sebagai saluran untuk mengkritik aturan adat dalam masyarakat Minangkabau.

Seperti kebanyakan orang Minang, HAMKA juga suka berkelana. Ketika berusia 16 tahun, beliau berangkat ke Yogyakarta. Di sana beliau berkenalan dan belajar dengan HJ Omar Said Cokroaminoto, pimpinan SI yang terkenal itu. Dari Yogyajakarta beliau menuju Pekalongan untuk belajar dengan AR Sutan Mansur (ipar beliau), pemimpin Muhammadiyah. HAMKA pulang ke kampung halamannya di Padang Panjang dan menggerakkan tabligh (aktivisme) Muhammadiyah di rumah ayahnya. Pada tahun 1927, tanpa pengetahuan ayahnya, pada usia 19 tahun HAMKA telah belayar ke Mekah. Setelah pulang ke tanah air, beliau menjadi guru kepada buruh-buruh di sebuah kebun di Medan. Beliau dijemput oleh iparnya AR Sutan Mansur untuk kembali aktif dalam pergerakan Muhammadiyah. Beliau terus aktif berdakwah dalam organisasi Muhammadiyah sehinggalah pendudukan Jepun pada tahun 1942. Ketika itu beliau memegang pimpinan Muhammadiyah Sumatera Timur.

Semasa pendudukan Jepun, HAMKA dan ramai tokoh ulama yang lain seperti KH Mas Mansur memberikan kerjasama kepada Jepun yang telah berjanji untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Sebenarnya, Jepun hanya menggunakan ulama untuk mendapatkan sokongan rakyat agar terus menjayakan gagasan ‘Asia untuk Asia’. Jaminan itu tidak lebih daripada muslihat mereka untuk mengukuhkan cengkaman imperialisme Jepun sebagai ganti kepada penjajahan Barat. Walaubagaimanapun Jepun terpaksa memberikan kemerdekaan itu apabila sudah terang mereka berada di pihak yang kalah dalam perang pasifik. Proklamasi (kemerdekaan) diisytiharkan pada 17 Ogos 1945. Belanda tidak mengiktiraf kemerdekaan ini dan telah meminta bantuan British untuk kembali menjajah Indonesia. Rakyat Indonesia yang bertekad untuk mempertahankan kemerdekaan tersebut telah melancarkan Perang Revolusi yang berlangsung selama lima tahun. HAMKA sendiri menyertai pasukan bergerila memerangi pihak Berikat di Sumatera Barat.

Ketokohan HAMKA sebagai ulama dan tokoh gerakan Islam bermula pada tahun-tahun 1950-an. Beliau dilantik menjadi pegawai kementerian agama pada tahun 1950. Dengan jawatan itu, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di beberapa universiti dan Institusi seperti Perguruan Tinggi Agama Islam Negeri (PTAIN) Yogyakarta, Universiti Islam Jakarta, Fakulti Hukum dan Falsafah Muhammadiyah di Padang Panjang, Universiti Muslim Makasar dan Universiti Islam Sumatera Utara (UISU). Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan Pemilihan Umum Pertama (PEMILU) Tahun 1955 di mana beliau dicalonkan sebagai anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) Masyumi, Jawa Tengah. Tindakan Sukarno yang menerapkan gagasan ‘Demokrasi Terpimpin’ menyebabkan Dewan Konstituante dan semua parti politik dibubarkan pada tahun 1960 (demokrasi terpimpin adalah nama lain bagi kepimpinan autokratik atau diktator). Seiring dengan arahan Presiden yang menghalang mana-mana pegawai kerajaan untuk terlibat dalam ORMAS (Organisasi masyarakat), maka Buya HAMKA melepaskan jawatan sebagai pegawai agama dan terus aktif dalam Muhammadiyah.

Bermula tahun 1960-an, Buya HAMKA mula menerima pelbagai mehnah kerana sikapnya yang tegas seringkali menimbulkan pertembungan dengan pihak pemerintah. Tindakan Sukarno menerapkan ‘demokrasi terpimpin’ dibidas oleh HAMKA sebagai ‘jalan lurus menuju neraka’. Pendiriannya yang tegas ini menyebabkan beliau menjadi sasaran pemerintah. Pada tahun 1964, beliau ditahan atas tiga tuduhan subversif di bawah akta ISA (Anti Subversive Act). Salah satu daripada tuduhan itu ialah terlibat sama dalam komplot untuk membunuh Presiden Sukarno dengan menerima sejumlah wang daripada Tunku Abdul Rahman (Persekutuan Tanah Melayu). Kesemua tuduhan itu adalah merupakan fitnah yang direka-reka untuk mencari ‘kambing hitam’ ketika Sukarno mengisytihar ‘ganyang Malaysia’ dalam peristiwa konfrantasi. Ketika dipenjarakan selama hampir tiga tahun (1964-1966) itulah Buya HAMKA melengkapkan ’Tafsir Al-Azhar’ (30 juzuk) yang merupakan karya beliau yang teragung.

(Dipetik daripada buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 6)


SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.

Monday, August 9, 2010

Tarekat dan Jihad di Nusantara

Oleh Hafidzi Mohd Noor

Perkembangan Islam di Nusantara tidak dapat dipisahkan daripada aliran-aliran tasawuf atau tarekat. Pengaruh zaman dan ciri alam Melayu banyak menyumbang kepada proses pengislaman yang sedemikian. Islam mula bertapak di dunia sebelah sini pada zaman kemunduran kekuasaan politik di Asia Barat. Tidak seperti tempat lain, Islam di Nusantara tidak berkembang melalui penaklukan dan ekspedisi ketenteraan, tetapi dibawa oleh para mubaligh dan peniaga yang berperanan sebagai du’at (pendakwah).

Kehidupan yang mewah dan pembangunan tamadun kebendaan mendorong sebahagian umat Islam untuk menjalani kehidupan yang sangat sederhana dengan menjalani latihan kerohanian yang intensif. Natijah daripadanya, lahirlah aliran-aliran tasawuf dan tarekat untuk mengisi kehidupan kerohanian umat Islam. Adakalanya ia tercemar oleh pemikiran asing seperti falsafah Yunani dan anutan kerohanian yang bertentangan dengan Islam. Kemunculan hujjat-ul-Islam, Imam al-Ghazali dan syeikh-ul-Islam Ibnu Taimiyah sedikit sebanyak memurnikan aliran tasawuf daripada penyelewengan dan pemalsuan.

Apabila Islam datang ke Nusantara, agama dan kebudayaan Hindu-Buddha yang bercampur dengan tradisi lokal telah menjadi anutan sebahagian besar masyarakat. Teras agama Hindu membentuk kefahaman tentang ketuhanan. Konsep jelmaan tuhan pada makhluk menjadi asas kepercayaan masyarakat. Kepercayaan seperti ini bersenyawa dengan aliran tasawuf dan menjadi iktikad sebahagian pengamal tarekat. Kepercayaan yang disebut Pantheism ini diberikan wajah islami iaitu Wihdat-ul-wujud atau Kesatuan wujud, iaitu menyatu makhluk dengan tuhan.

Antara pengembang aliran ini yang terawal di Nusantara ialah Syeikh Siti Jenar, salah seorang daripada Wali Songo yang dihukum bunuh kerana mengatakan ‘ana Allah’ (aku Allah). Namun, aliran ini terus mendapat tempat di sanubari umat kerana ketidakmurnian akidah tauhid. Antara tokoh terkenal dalam kelompok ini ialah Hamzah Fansuri dan Shamsuddin as-Sumaterani. Malah, pengaruh mereka begitu meluas sehingga ia pernah menjadi aliran rasmi di Aceh. Walaubagaimanapun, kemunculan ulama seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Sinkil telah mengembalikan akidah umat di atas landasan tauhid yang sejahtera.

Skop penulisan ini tidak bertujuan untuk membicarakan dengan mendalam tentang pelbagai aliran tasawuf atau tarekat dan sejarah perkembangannya di Nusantara. Apa yang hendak disentuh dalam bab penulisan ini ialah peranan tarekat dalam kebangkitan umat menentang penjajahan.

Berpegang dengan aliran tarekat tertentu memberikan umat Islam kekuatan rohani atau dalaman untuk berhadapan dengan musuh yang bergantung kepada kekuatan fizikal dan kebendaan. Belanda mempunyai kelengkapan persenjataan yang jauh mengatasi umat Islam. Hakikat ini tidak memberikan banyak pilihan kepada umat Islam selain daripada memperkasa aspek kerohanian. Dengan memantapkan hubungan dengan Allah, akan lahirlah keyakinan, sifat tawakal dan keberanian luar biasa untuk berhadapan dengan musuh.

Realiti ini turut diakui oleh Belanda yang sentiasa memantau kumpulan-kumpulan tarekat. Malah, insiden kebangkitan rakyat atas sebab apapun seringkali membabitkan pengamal tarekat dan pengikut mereka, sehingga timbul inisiatif dalam kalangan pegawai Belanda untuk mengharamkan tarekat. Namun, atas pandangan penasihat terulung, Snouck Hurgronje yang menjelaskan tarekat sudah menjadi sebahagian daripada umat Islam di Nusantara, pengamal tarekat hanya dipastikan tidak bersikap ‘fanatik’.

Sebagaimana tarekat mewarnai proses penyebaran Islam, tarekat juga merupakan ciri penting kepada usaha jihad menentang penjajah. Salah seorang ulama pengamal tarekat yang paling tegar menentang Belanda dalam sejarah penjajahan Indonesia ialah Syeikh Yusuf Tajul al-Khalawatiyah al-Naqsyabandi al-Makassari. Ulama yang berasal dari Gowa, Makassar ini berguru dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan memperoleh ijazah tarekat Qadariah daripadanya. Kemudian beliau berangkat ke Yaman dan memperoleh ijazah tarekat Naqsyabandiah. Beliau kemudiannya bergabung dengan Sultan Ageng Tirtayarsa untuk mempertahankan kedaulatan Banten daripada penguasaan Belanda. Kerajaan Banten tewas dan Syeikh Yusuf diasingkan ke Sri Lanka dan kemudiannya di Afrika Selatan di mana beliau meninggal dunia di sana. Peristiwa ini berlaku pada kurun ke-17, dan ia memberikan pengajaran yang cukup penting kepada Belanda untuk mengawasi gerakan tarekat terutamanya Naqsyabandiah.

Pemberontakan di Cilegon, Banten pada tahun 1888 juga tidak terlepas daripada pengaruh tarekat. Hampir kesemua individu yang terlibat termasuk anak-anak tempatan yang berkhidmat dengan pentadbiran Belanda mengamalkan ajaran tarekat. Peristiwa yang berlaku di Garut pada tahun 1919 juga diperkira melibatkan pengikut tarekat. Insiden ini melibatkan seorang yang bernama Hj. Hassan yang enggan menjual padinya mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pemerintah setelah setahun sebelumnya beliau dipaksa memusnahkan tanamannya dan digantikan dengan padi. Hj. Hassan dan pengikutnya telah mencabar pemerintah dan berkurung di dalam rumah dengan berzikir. Pasukan keselamatan Belanda telah melepaskan tembakan sehingga membunuh Hj. Hassan dan beberapa korban yang lain.

Isu ini menjadi polemik yang hebat tentang tindakan pentadbiran Belanda yang dikatakan menggunakan kekerasan yang tidak perlu. Walaubagaimanapun isu ini akhirnya dikaitkan dengan Afdeeling B iaitu pemberontakan yang dikaitkan pula dengan Serikat Islam (SI). SI difitnah dengan komplotan untuk membunuh orang-orang Belanda, orang-orang Cina, pegawai-pegawai kerajaan dan Chokroaminoto dilantik sebagai Raja Jawa. Perancangan licik ini telah berjaya mengalihkan isu penentangan kumpulan tarekat kerana enggan menjual hasil padi kepada isu keselamatan nasional yang membabitkan SI. Ekoran daripadanya Cokroaminoto ditahan dan SI menjadi sasaran pemerintah.

Tarekat telah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan penentangan umat Islam ke atas penjajahan di Nusantara, malah di seluruh dunia Islam. Tarekat ataupun ajaran tasawuf adalah sesuatu yang murni dan sepatutnya menjadi asas pembinaan rohani aktivis gerakan Islam. Imam as-Syahid Hassan al-Banna sendiri melibatkan diri dengan kumpulan tarekat al-Hasafiyah. Di sanalah beliau mewariskan al-Wazifatul Qubra yang diamalkan oleh gerakan Islam seantero dunia yang mengambil model Ikhwan Muslimun iaitu al-ma’thurat. Kekuatan rohani diperlukan untuk memupuk iman dan takwa yang menjadi modal untuk mendapat nusrah atau pertolongan Allah.

Umar al-Khatab pernah mengingatkan kontinjen tentera yang dihantar ke perbatasan supaya menjauhi maksiat kerana Allah memenangkan Islam atas maksiat yang dilakukan oleh musuh. Begitu juga Sallahuddin al-Ayubbi yang telah menyaring tenteranya daripada kalangan yang salih dan warak untuk mengetuai penyerangan ke atas Baitul Maqdis sehingga al-Quds kembali direbut oleh umat Islam daripada cengkaman Salibiyyin. Rasulullah s.a.w. mengunjurkan kota Konstantin (Istanbul) akan direbut oleh tentera yang salih dan dipimpin oleh raja yang paling salih. Ternyata usaha merebut kota Konstantin hanya dipenuhi lapan ratus tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. oleh pasukan tentera dan rajanya yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud.

Akhir sekali, Peperangan Badar adalah kemuncak bukti betapa bilangan yang kecil dapat mengalahkan bilangan yang jauh lebih besar dan lengkap bersenjata kerana ditunjang oleh kekuatan keimanan. Tidakkah Rasulullah s.a.w. telah mendidik para sahabatnya untuk mengasah kekuatan rohani dengan solat malam dan zikir (membaca dan menghayati al-Quran; sebaik-baik zikir)?. Fenomena yang ajaib ini berulang pada setiap zaman. Dalam konteks terkini, kita melihat bagaimana mujahidin Afghanistan yang sangat sederhana dapat mengalahkan gergasi Soviet Union yang mempunyai segala peralatan canggih dan teknologi peperangannya. Malah, kekalahan Soviet Union di tangan pasukan mujahidin menjadi titik-tolak kepada berakhirnya kekuasaan Komunis dan bubarnya Soviet Union sehingga terpecah menjadi 17 negara.

Namun, Islam adalah agama manusiawi dan berjalan di atas sunah manusiawi. Kemenangan akan dicapai setelah jalan-jalan untuk mendapatkannya dipersiapkan. Justeru, kekuatan rohani seperti yang diterap oleh ajaran tasawuf atau tarekat (jalan menuju Allah) perlu jalan seiring dengan kekuatan-kekuatan fizikal dan material. Inilah anjuran al-Quran, “Persiapkanlah segala jenis kekuatan dari kuda-kuda yang ditambat, agar kamu mendatangkan rasa gerun kepada musuhmu dan kepada Allah dan mereka yang kamu tidak tahu tetapi Allah mengetahuinya.” Umar al-Khatab mengatakan, “Hadapilah musuh kamu, tombak dengan tombak, pedang dengan pedang.” Lantaran itu, persiapan material perlu dititik-beratkan dengan menjadikan kekuatan rohani sebagai tapak atau asas.

Di manakah kelemahan tarekat dan aliran tasawuf di Nusantara? Pertama, sebahagian besar aliran tarekat telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang murni dan bercampur-aduk dengan pelbagai falsafah dan kepercayaan asing. Akhirnya, wujudlah pelbagai aliran yang tidak sehaluan dengan syarak. Ini termasuklah doktrin pantheism dalam agama Hindu yang meletakkan kesatuan di antara makhluk dan dewa (Brahman) atau penjelmaan dewa ke dalam diri makhluk. Kepercayaan seumpama pantheism ini turut mempengaruhi sebahagian ulama sufi yang berpegang dengan doktrin wihdat-ul-wujud atau ’kesatuan wujud’ iaitu bersatunya zat Allah dengan insan.

Antara ilmu yang dipelajari dan menjadi amalan sebahagian umat Islam yang melawan penjajah Belanda ialah ilmu ’Martabat Tujuh’ yang jelas mengandungi unsur-unsur doktrin wihdat-ul-wujud. Pegangan sedemikian yang mirip kepercayaan sinkretisme golongan abangan atau penganut kejawen @ gomo jowo di Pulau Jawa turut bersemarak dalam kalangan umat Islam di seluruh Nusantara. Sebagai contoh, HAMKA menulis di dalam ’Ayahku’, semasa rakyat Sumatera Barat bersiap-siap untuk berperang melawan Belanda kerana anti-cukai atau Perang Balasting (1908), guru-guru ilmu sihir keluar masuk kampung mengajarkan ilmu ’Martabat Tujuh’ kepada pemuda-pemuda. Mereka yakin ’ilmu’ ini akan menjadi pendinding dengan cara menjadikan mereka kebal terhadap peluru Belanda.

Ternyata terdapat pelbagai jenis azimat yang ditemui pada tubuh pejuang yang gugur dalam pertempuran di Kamang, lantaran yakin dengan ilmu kebal yang diperoleh daripada pelajaran ’Martabat Tujuh’. Ketika para guru sihir ini menyebarkan ajaran sesat dan syirik atas nama jihad, ulama-ulama yang ikhlas berusaha untuk memurnikan akidah umat Islam dengan mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu kalam (tauhid). Hj. Abdul Karim Amrullah telah menggunakan pendekatan ilmu mantik bagi membanteras ajaran sesat yang merosakkan keimanan masyarakat.

Kedua, ketidakseimbangan di antara persiapan rohani dan persiapan material. Namun, penjajahan adalah sesuatu yang dipaksakan ke atas umat Islam. Dalam keadaan sedemikian, umat Islam bangkit dengan kekuatan yang ada untuk berhadapan dengan penjajah yang lengkap bersenjata seperti di Aceh, Bonjol (Sumatera Barat), Banten, Makasar dan Maluku. Meskipun dari sudut fizikal mereka dikalahkan, namun dalam kekalahan ada kemenangan. Tidakkah dengan jihad yang ditunjang oleh kekuatan rohani meski daif dari sudut persenjataan ini berjaya mengepung akidah umat sehingga Islam terus bertahan walaupun terjajah ratusan tahun lamanya?

(Dipetik daripada buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 6)


SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.