Oleh Hafidzi Mohd Noor
Perkembangan Islam di Nusantara tidak dapat dipisahkan daripada aliran-aliran tasawuf atau tarekat. Pengaruh zaman dan ciri alam Melayu banyak menyumbang kepada proses pengislaman yang sedemikian. Islam mula bertapak di dunia sebelah sini pada zaman kemunduran kekuasaan politik di Asia Barat. Tidak seperti tempat lain, Islam di Nusantara tidak berkembang melalui penaklukan dan ekspedisi ketenteraan, tetapi dibawa oleh para mubaligh dan peniaga yang berperanan sebagai du’at (pendakwah).
Kehidupan yang mewah dan pembangunan tamadun kebendaan mendorong sebahagian umat Islam untuk menjalani kehidupan yang sangat sederhana dengan menjalani latihan kerohanian yang intensif. Natijah daripadanya, lahirlah aliran-aliran tasawuf dan tarekat untuk mengisi kehidupan kerohanian umat Islam. Adakalanya ia tercemar oleh pemikiran asing seperti falsafah Yunani dan anutan kerohanian yang bertentangan dengan Islam. Kemunculan hujjat-ul-Islam, Imam al-Ghazali dan syeikh-ul-Islam Ibnu Taimiyah sedikit sebanyak memurnikan aliran tasawuf daripada penyelewengan dan pemalsuan.
Apabila Islam datang ke Nusantara, agama dan kebudayaan Hindu-Buddha yang bercampur dengan tradisi lokal telah menjadi anutan sebahagian besar masyarakat. Teras agama Hindu membentuk kefahaman tentang ketuhanan. Konsep jelmaan tuhan pada makhluk menjadi asas kepercayaan masyarakat. Kepercayaan seperti ini bersenyawa dengan aliran tasawuf dan menjadi iktikad sebahagian pengamal tarekat. Kepercayaan yang disebut Pantheism ini diberikan wajah islami iaitu Wihdat-ul-wujud atau Kesatuan wujud, iaitu menyatu makhluk dengan tuhan.
Antara pengembang aliran ini yang terawal di Nusantara ialah Syeikh Siti Jenar, salah seorang daripada Wali Songo yang dihukum bunuh kerana mengatakan ‘ana Allah’ (aku Allah). Namun, aliran ini terus mendapat tempat di sanubari umat kerana ketidakmurnian akidah tauhid. Antara tokoh terkenal dalam kelompok ini ialah Hamzah Fansuri dan Shamsuddin as-Sumaterani. Malah, pengaruh mereka begitu meluas sehingga ia pernah menjadi aliran rasmi di Aceh. Walaubagaimanapun, kemunculan ulama seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Sinkil telah mengembalikan akidah umat di atas landasan tauhid yang sejahtera.
Skop penulisan ini tidak bertujuan untuk membicarakan dengan mendalam tentang pelbagai aliran tasawuf atau tarekat dan sejarah perkembangannya di Nusantara. Apa yang hendak disentuh dalam bab penulisan ini ialah peranan tarekat dalam kebangkitan umat menentang penjajahan.
Berpegang dengan aliran tarekat tertentu memberikan umat Islam kekuatan rohani atau dalaman untuk berhadapan dengan musuh yang bergantung kepada kekuatan fizikal dan kebendaan. Belanda mempunyai kelengkapan persenjataan yang jauh mengatasi umat Islam. Hakikat ini tidak memberikan banyak pilihan kepada umat Islam selain daripada memperkasa aspek kerohanian. Dengan memantapkan hubungan dengan Allah, akan lahirlah keyakinan, sifat tawakal dan keberanian luar biasa untuk berhadapan dengan musuh.
Realiti ini turut diakui oleh Belanda yang sentiasa memantau kumpulan-kumpulan tarekat. Malah, insiden kebangkitan rakyat atas sebab apapun seringkali membabitkan pengamal tarekat dan pengikut mereka, sehingga timbul inisiatif dalam kalangan pegawai Belanda untuk mengharamkan tarekat. Namun, atas pandangan penasihat terulung, Snouck Hurgronje yang menjelaskan tarekat sudah menjadi sebahagian daripada umat Islam di Nusantara, pengamal tarekat hanya dipastikan tidak bersikap ‘fanatik’.
Sebagaimana tarekat mewarnai proses penyebaran Islam, tarekat juga merupakan ciri penting kepada usaha jihad menentang penjajah. Salah seorang ulama pengamal tarekat yang paling tegar menentang Belanda dalam sejarah penjajahan Indonesia ialah Syeikh Yusuf Tajul al-Khalawatiyah al-Naqsyabandi al-Makassari. Ulama yang berasal dari Gowa, Makassar ini berguru dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan memperoleh ijazah tarekat Qadariah daripadanya. Kemudian beliau berangkat ke Yaman dan memperoleh ijazah tarekat Naqsyabandiah. Beliau kemudiannya bergabung dengan Sultan Ageng Tirtayarsa untuk mempertahankan kedaulatan Banten daripada penguasaan Belanda. Kerajaan Banten tewas dan Syeikh Yusuf diasingkan ke Sri Lanka dan kemudiannya di Afrika Selatan di mana beliau meninggal dunia di sana. Peristiwa ini berlaku pada kurun ke-17, dan ia memberikan pengajaran yang cukup penting kepada Belanda untuk mengawasi gerakan tarekat terutamanya Naqsyabandiah.
Pemberontakan di Cilegon, Banten pada tahun 1888 juga tidak terlepas daripada pengaruh tarekat. Hampir kesemua individu yang terlibat termasuk anak-anak tempatan yang berkhidmat dengan pentadbiran Belanda mengamalkan ajaran tarekat. Peristiwa yang berlaku di Garut pada tahun 1919 juga diperkira melibatkan pengikut tarekat. Insiden ini melibatkan seorang yang bernama Hj. Hassan yang enggan menjual padinya mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pemerintah setelah setahun sebelumnya beliau dipaksa memusnahkan tanamannya dan digantikan dengan padi. Hj. Hassan dan pengikutnya telah mencabar pemerintah dan berkurung di dalam rumah dengan berzikir. Pasukan keselamatan Belanda telah melepaskan tembakan sehingga membunuh Hj. Hassan dan beberapa korban yang lain.
Isu ini menjadi polemik yang hebat tentang tindakan pentadbiran Belanda yang dikatakan menggunakan kekerasan yang tidak perlu. Walaubagaimanapun isu ini akhirnya dikaitkan dengan Afdeeling B iaitu pemberontakan yang dikaitkan pula dengan Serikat Islam (SI). SI difitnah dengan komplotan untuk membunuh orang-orang Belanda, orang-orang Cina, pegawai-pegawai kerajaan dan Chokroaminoto dilantik sebagai Raja Jawa. Perancangan licik ini telah berjaya mengalihkan isu penentangan kumpulan tarekat kerana enggan menjual hasil padi kepada isu keselamatan nasional yang membabitkan SI. Ekoran daripadanya Cokroaminoto ditahan dan SI menjadi sasaran pemerintah.
Tarekat telah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan penentangan umat Islam ke atas penjajahan di Nusantara, malah di seluruh dunia Islam. Tarekat ataupun ajaran tasawuf adalah sesuatu yang murni dan sepatutnya menjadi asas pembinaan rohani aktivis gerakan Islam. Imam as-Syahid Hassan al-Banna sendiri melibatkan diri dengan kumpulan tarekat al-Hasafiyah. Di sanalah beliau mewariskan al-Wazifatul Qubra yang diamalkan oleh gerakan Islam seantero dunia yang mengambil model Ikhwan Muslimun iaitu al-ma’thurat. Kekuatan rohani diperlukan untuk memupuk iman dan takwa yang menjadi modal untuk mendapat nusrah atau pertolongan Allah.
Umar al-Khatab pernah mengingatkan kontinjen tentera yang dihantar ke perbatasan supaya menjauhi maksiat kerana Allah memenangkan Islam atas maksiat yang dilakukan oleh musuh. Begitu juga Sallahuddin al-Ayubbi yang telah menyaring tenteranya daripada kalangan yang salih dan warak untuk mengetuai penyerangan ke atas Baitul Maqdis sehingga al-Quds kembali direbut oleh umat Islam daripada cengkaman Salibiyyin. Rasulullah s.a.w. mengunjurkan kota Konstantin (Istanbul) akan direbut oleh tentera yang salih dan dipimpin oleh raja yang paling salih. Ternyata usaha merebut kota Konstantin hanya dipenuhi lapan ratus tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. oleh pasukan tentera dan rajanya yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud.
Akhir sekali, Peperangan Badar adalah kemuncak bukti betapa bilangan yang kecil dapat mengalahkan bilangan yang jauh lebih besar dan lengkap bersenjata kerana ditunjang oleh kekuatan keimanan. Tidakkah Rasulullah s.a.w. telah mendidik para sahabatnya untuk mengasah kekuatan rohani dengan solat malam dan zikir (membaca dan menghayati al-Quran; sebaik-baik zikir)?. Fenomena yang ajaib ini berulang pada setiap zaman. Dalam konteks terkini, kita melihat bagaimana mujahidin Afghanistan yang sangat sederhana dapat mengalahkan gergasi Soviet Union yang mempunyai segala peralatan canggih dan teknologi peperangannya. Malah, kekalahan Soviet Union di tangan pasukan mujahidin menjadi titik-tolak kepada berakhirnya kekuasaan Komunis dan bubarnya Soviet Union sehingga terpecah menjadi 17 negara.
Namun, Islam adalah agama manusiawi dan berjalan di atas sunah manusiawi. Kemenangan akan dicapai setelah jalan-jalan untuk mendapatkannya dipersiapkan. Justeru, kekuatan rohani seperti yang diterap oleh ajaran tasawuf atau tarekat (jalan menuju Allah) perlu jalan seiring dengan kekuatan-kekuatan fizikal dan material. Inilah anjuran al-Quran, “Persiapkanlah segala jenis kekuatan dari kuda-kuda yang ditambat, agar kamu mendatangkan rasa gerun kepada musuhmu dan kepada Allah dan mereka yang kamu tidak tahu tetapi Allah mengetahuinya.” Umar al-Khatab mengatakan, “Hadapilah musuh kamu, tombak dengan tombak, pedang dengan pedang.” Lantaran itu, persiapan material perlu dititik-beratkan dengan menjadikan kekuatan rohani sebagai tapak atau asas.
Di manakah kelemahan tarekat dan aliran tasawuf di Nusantara? Pertama, sebahagian besar aliran tarekat telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang murni dan bercampur-aduk dengan pelbagai falsafah dan kepercayaan asing. Akhirnya, wujudlah pelbagai aliran yang tidak sehaluan dengan syarak. Ini termasuklah doktrin pantheism dalam agama Hindu yang meletakkan kesatuan di antara makhluk dan dewa (Brahman) atau penjelmaan dewa ke dalam diri makhluk. Kepercayaan seumpama pantheism ini turut mempengaruhi sebahagian ulama sufi yang berpegang dengan doktrin wihdat-ul-wujud atau ’kesatuan wujud’ iaitu bersatunya zat Allah dengan insan.
Antara ilmu yang dipelajari dan menjadi amalan sebahagian umat Islam yang melawan penjajah Belanda ialah ilmu ’Martabat Tujuh’ yang jelas mengandungi unsur-unsur doktrin wihdat-ul-wujud. Pegangan sedemikian yang mirip kepercayaan sinkretisme golongan abangan atau penganut kejawen @ gomo jowo di Pulau Jawa turut bersemarak dalam kalangan umat Islam di seluruh Nusantara. Sebagai contoh, HAMKA menulis di dalam ’Ayahku’, semasa rakyat Sumatera Barat bersiap-siap untuk berperang melawan Belanda kerana anti-cukai atau Perang Balasting (1908), guru-guru ilmu sihir keluar masuk kampung mengajarkan ilmu ’Martabat Tujuh’ kepada pemuda-pemuda. Mereka yakin ’ilmu’ ini akan menjadi pendinding dengan cara menjadikan mereka kebal terhadap peluru Belanda.
Ternyata terdapat pelbagai jenis azimat yang ditemui pada tubuh pejuang yang gugur dalam pertempuran di Kamang, lantaran yakin dengan ilmu kebal yang diperoleh daripada pelajaran ’Martabat Tujuh’. Ketika para guru sihir ini menyebarkan ajaran sesat dan syirik atas nama jihad, ulama-ulama yang ikhlas berusaha untuk memurnikan akidah umat Islam dengan mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu kalam (tauhid). Hj. Abdul Karim Amrullah telah menggunakan pendekatan ilmu mantik bagi membanteras ajaran sesat yang merosakkan keimanan masyarakat.
Kedua, ketidakseimbangan di antara persiapan rohani dan persiapan material. Namun, penjajahan adalah sesuatu yang dipaksakan ke atas umat Islam. Dalam keadaan sedemikian, umat Islam bangkit dengan kekuatan yang ada untuk berhadapan dengan penjajah yang lengkap bersenjata seperti di Aceh, Bonjol (Sumatera Barat), Banten, Makasar dan Maluku. Meskipun dari sudut fizikal mereka dikalahkan, namun dalam kekalahan ada kemenangan. Tidakkah dengan jihad yang ditunjang oleh kekuatan rohani meski daif dari sudut persenjataan ini berjaya mengepung akidah umat sehingga Islam terus bertahan walaupun terjajah ratusan tahun lamanya?
(Dipetik daripada buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 6)
SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.
No comments:
Post a Comment