Oleh Hafidzi Mohd Noor
Seorang penulis sejarah, Simon Winchester menghasilkan karyanya yang berjudul ‘Krakatoa: The day the world exploded – 27 August 1883’ (terbit 2003) mendakwa bahawa peristiwa ini mencetuskan kebangkitan ‘Islam militan’ di Indonesia. Simon Winchester menulis:
“The great blast also sounded the death knell for colonial rule in Indonesia. Radical mullahs preached that the eruption was the revenge of Allah against the archipelago's infidel rulers and those who served them. They declared jihad in 1888, and there followed an orgy of killing directed at European men, women and children. Though the rebellion was soon crushed, Winchester notes that today it "is regarded very much as a way-station on the route to eventual Indonesian independence.”
(Ledakan besar itu juga menandakan berakhirnya pemerintahan kolonial di Indonesia. Para mullah yang radikal berkhutbah bahawa ledakan gunung berapi itu adalah kemurkaan Allah terhadap pemimpin-pemimpin yang kafir di kepulauan tersebut dan sesiapa yang taat kepada mereka. Mereka mengisytiharkan jihad pada tahun 1888 dan ini diikuti dengan pembunuhan membabi-buta ke atas masyarakat Eropah termasuk wanita dan kanak-kanak. Meskipun pemberontakan itu dapat dipatahkan, Winchester merakamkan pada hari ini, peristiwa tersebut dianggap sebagai batu tanda dalam perjalanan Indonesia mencapai kemerdekaannya).
Masyarakat pribumi sering mengaitkan gunung berapi dengan kediaman para dewa. Penulis ini mendakwa golongan ulama dan santri yang sibuk mengislamkan penduduk Hindu telah mengambil kesempatan ini untuk menghasut mereka supaya meninggalkan agama tersebut dan di samping itu memberontak ke atas penjajahan Kompeni Belanda. Peristiwa ini dilihat sebagai satu isyarat betapa Allah yang Maha Kuasa tidak reda dengan penjajahan yang berlaku ke atas umat Islam.
Memang terjadi kejadian serangan ke atas pos-pos kawalan Kompeni selepas kejadian ini. Namun, untuk mengatakan bahawa ledakan Krakatoalah yang menyebabkan kebangkitan umat Islam untuk membebaskan diri daripada penjajahan adalah jauh daripada kenyataan sejarah. Sememangnya berlaku kebangkitan santri pada tahun 1888 di Banten, namun ia adalah rentetan perjuangan yang berterusan sejak tahun 1834 lagi, apabila umat Islam Banten berusaha untuk melepaskan diri daripada polisi tanam paksa Belanda di samping isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam seperti yang akan dihuraikan.
Kurun ke-19 memang menyaksikan perlawanan bersenjata umat Islam ke atas VOC. Antaranya Perang Paderi (1821-1837) di Sumatera Barat, Perang Diponogoro (1825-1830) di Jawa Barat, Perang Banten (1834-1888), Perang Aceh (1873-1905) dan perlawanan Si Singamangaraja XII di Tapanuli/Batak (1877-1907). Pada kurun yang ke-19 juga tercatat beberapa bencana alam dan wabak yang menular di sebahagian besar Kepulauan Indonesia. Berbanding letupan gunung berapi Krakatoa, letupan gunung berapi Tambora di Pulau Sumbawa membawa bencana pada skala yang lebih besar. Di samping 10,000 orang terbunuh akibat letupan gunung berapi, 38,000 nyawa lagi melayang kerana kebuluran yang menyusul selepas kejadian tersebut. Pulau-pulau yang berhampiran turut menerima kesan langsung daripada letupan gunung berapi Tambora sehingga bilangan keseluruhan penduduk yang terbunuh di Pulau Sumbawa, Bali dan Lombok mencecah 117,000 orang. Menurut Clive Oppenheimer, letupan gunung berapi Tambora telah menjejaskan iklim dunia, yang mana pada tahun 1816 iaitu setahun selepas kejadian, dinamakan Tahun Tanpa Musim Panas (Year Without a Summer) kerana kesan debu gunung berapi kepada iklim di Amerika Utara dan Eropah. Natijah daripadanya tanaman dan ternakan musnah di hemisfera utara sehingga mencetuskan kebuluran terburuk pada kurun ke-19. Sebuah lagi gunung berapi aktif di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah memuntahkan lavanya sejak 400,000 tahun yang lalu. Tercatat dalam sejarah, letupan besar berlaku pada tahun 1006, 1786, 1822, 1872 (letupan terbesar dalam sejarah) dan 1930 (yang memusnahkan 13 buah kampung dan membunuh sekitar 1,400 penduduk).
Pada keseluruhannya terdapat sekurang-kurangnya 129 gunung berapi aktif yang bertaburan di Indonesia kerana kedudukannya di dalam kawasan lingkaran api Pasifik (Pacific Ring of Fire). Ini juga menjelaskan kejadian gempa bumi yang kerap berlaku dari masa ke masa, di antaranya yang mendatangkan kemusnahan yang besar seperti di Sumatera Barat pada tahun 1797 dan 1833; dan yang terkini seperti di Aceh pada tahun 2004 dan Nias pada tahun 2005.
Di samping bencana alam, Nusantara juga dilanda pelbagai wabak penyakit seperti taun, disenteri dan cacar. Malah, ketika Belanda melancarkan serangan ke atas Aceh pada tahun 1873 dan 1874, sebahagian besar daripada tentera Belanda dan pejuang Aceh terkorban kerana wabak taun. Penularan wabak pada haiwan ternakan juga sering berlaku sehingga menjejaskan ekonomi penduduk kampung dan mencetuskan keadaan huru-hara seperti yang berlaku di Celigon, Banten pada tahun 1888. Penularan wabak ini ada kaitannya dengan letupan gunung berapi Krakatoa dan gelombang tsunami yang memusnahkan Banten.
Kerajaan Hindia Belanda telah mengambil langkah drastik untuk mengawal wabak tersebut daripada menular dengan membunuh semua kerbau ternakan penduduk kampung. Kesabaran penduduk benar-benar teruji apabila askar-askar Kompeni membunuh kerbau dengan sewenang-wenangnya. Jika ada penduduk yang cuba menghalang, maka muncung senapang dibidikkan pula kepada tuan yang empunya.
Para ulama telah menggesa masyarakat supaya bersabar dan mengajak masyarakat berzikir memohon perlindungan daripada bala yang menimpa. Penduduk benar-benar tertekan akibat kekurangan makanan yang berpunca daripada bencana alam dan wabak penyakit, ditambah pula dengan pelbagai bentuk cukai dan sewa yang perlu dijelaskan kepada pemerintah (ini akan disentuh dalam bab seterusnya). Dalam suasana tersebut ulama menjadi rujukan dan tempat untuk umat membina kekuatan atas landasan akidah yang bersih daripada sebarang bentuk penyelewengan. Salah seorang ulama tersebut ialah Haji Wasith yang pulang dari Mekah setelah berguru dengan Syeikh Nawawi al-Banten yang terkenal itu.
Dalam kalangan orang awam pula akidah tauhid masih bercampur dengan kepercayaan lama. Mereka mempercayai tempat-tempat yang dianggap keramat dan perlu dipuja dengan menyediakan ‘sesajen’. Mereka yakin tempat-tempat yang dianggap keramat itu boleh membantu mereka keluar daripada kesusahan atau menyampaikan hajat mereka terutama pada saat berhadapan dengan bencana, wabak penyakit dan musibah lain. Kebetulan di Celigon, Banten ada sebuah pohon besar yang dianggap keramat oleh penduduk setempat. Berkumpullah penduduk kampung memuja pohon keramat itu dan memohon agar mereka terhindar daripada malapetaka dan kesusahan.
Haji Wasith dan para santri (guru-guru agama) dengan tegas membidas amalan khurafat yang membawa kepada syirik. Namun, ia mendatangkan keuntungan ekonomi kepada setengah pihak. Pokok keramat yang menjadi tumpuan orang ramai kini menjadi sumber pendapatan. Setelah nasihat dan teguran tidak diendahkan, Haji Wasith dan anak-anak muridnya mengambil keputusan nekad untuk menebang pokok keramat tersebut. Esoknya apabila penduduk kampung datang untuk upacara pemujaan, mereka dapati pohon tersebut sudah ditebang dan hanya tinggal tunggul sahaja. Bukan main marah lagi penduduk kampung.
Namun pihak yang lebih marah ialah orang yang melindungi pokok tersebut. Aduan dibuat kepada asisten wedana bahawa tanahnya telah diceroboh oleh Haji Wasith. Haji Wasith dipanggil ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman denda. Hukuman tersebut dianggap sebagai satu penghinaan oleh anak-anak muridnya dan tindakan tersebut dilihat sebagai usaha penjajah mencampuri urusan umat Islam.
Dalam pada itu, umat Islam disinggung pula dengan tindakan seorang asisten residen Belanda, Goebels yang memerintahkan supaya azan dan tarhim pada waktu Subuh diperlahankan kerana katanya, “Tuhan Allah tidak pekak!” Kerana tidurnya terganggu, Goebels telah mengarahkan agar menara langgar (surau) yang berhampiran rumahnya dirobohkan. Hukuman denda ke atas Haji Wasith kerana membela perbuatan syirik dan tindakan merobohkan menara masjid, di samping tertekan dengan krisis makanan dan ancaman penyakit membuatkan penduduk hilang sabar. Di bawah pimpinan Haji Wasith dan Kiyai Tubagus Ismail, penduduk Banten telah mengepung Cilegon pada 9 dan 10 Julai 1888. Dengan takbir dan tahlil mereka menyerang kota Cilegon dan membunuh pegawai-pegawai Belanda dan orang-orang tempatan yang berkhidmat dengan pemerintah. Ahli keluarga mereka termasuk wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa pembunuhan penduduk yang memberontak. Asisten Residen Goebels turut terbunuh akibat menderita luka-luka dalam pertempuran.
Seperti dijangka, pemerintah Hindia Belanda berjaya mengawal keadaan setelah menghantar pasukan bantuan dari Serang. Bergelimpanganlah pula para pemberontak di tangan askar-askar VOC yang lengkap bersenjata. Haji Wasith turut terbunuh dan yang tertangkap dijatuhkan hukuman gantung jika sabit kesalahan membunuh rakyat Belanda dan pegawai kerajaan. Ramai juga daripada pimpinan yang diasingkan ke tempat-tempat yang jauh seperti Pulau Banda, Bukittinggi (Sumatera Barat), Gorontalo (Sulawesi), Buton (Sulawesi Selatan) dan Flores (Nusa Tenggara).
Peristiwa ini memberikan pelajaran yang sangat penting kepada pemerintah Belanda agar menjaga sensitiviti umat Islam dan menjaga perasaan mereka sebelum melakukan sebarang tindakan. Dalam pada itu, atas nasihat Snouck Hurgronje, ahli masyarakat yang berpegang teguh dengan Islam dituduh ‘fanatik’. Justeru, kerana takut dicop fanatik, ada dalam kalangan umat Islam yang berusaha untuk membuktikan bahawa mereka cukup toleran supaya tidak digolongkan sebagai golongan fanatik. Begitu lemahnya jiwa mereka sehingga ada yang pulang daripada mengerjakan haji tetapi demi merebut kepercayaan Belanda, telah mengadakan pesta dengan menjemput pegawai-pegawai Belanda dan peniaga-peniaga Cina yang kaya; dan dalam pesta itu minuman keras dihidangkan… agar tidak dianggap ‘fanatik!’
Kebangkitan di Celigon, Banten ini membuktikan bahawa ia tiada kena-mengena dengan bencana alam. Kesan daripada bencana boleh mengakibatkan keresahan masyarakat akibat daripada kemusnahan yang berlaku. Keresahan ini boleh memuncak kepada kemarahan yang tidak terkawal kepada pemerintah Belanda. Namun, seruan jihad hanya berlaku apabila umat Islam merasakan agamanya tercabar.
Bagi umat Islam, semua kejadian berupa bencana alam, penyakit dan musibah adalah satu bentuk ibtila’ (ujian) dan peringatan. Setiap kejadian buruk ini mendatangkan keinsafan agar umat Islam melakukan refleksi dan bangkit untuk melakukan pengislahan diri. Mereka sekali-kali tidak mentafsirkan kejadian gempa bumi dan letupan gunung berapi sebagai kemurkaan Tuhan ke atas orang-orang kafir.
(Petikan buku "Jejak Risalah di Nusantara" Jilid 5 terbitan JIMedia)
SEMINAR: ISLAM@NUSANTARA bersama Dr Hafidzi Mohd Noor sempena kemerdekaan pada 31 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat bahagian kanan blog ini.
No comments:
Post a Comment