Monday, November 28, 2011

Kelahiran 'Kaum Muda' dan latarbelakang sejarah awal

Assalamualaikum,

(penjelasan khusus tentang siapa itu kaum muda - bagi menjelaskan satu kekeliruan yang ditimbulkan)

Dipetik dari buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI: Gerakan Islam-Penggerak Kemerdekaan Indonesia
Pengarang:Dr Hafidzi Mohd Noor
Penerbit: JIMedia & NICE (Nusantara Centre of Excellence)
Tahun: 2009

1. Pendahuluan – Kebangkitan Islam moden menjelang abad 20.

Bagaimana kebangkitan Islam moden berkembang di Indonesia bahkan di seluruh nusantara? Bibitnya boleh dijejaki sejak dari kejatuhan kerajaan thalassocracy (Kerajaan yang berkembang dari perdagangan laut/pelabuhan seperti Melaka, Maluku, dan Makassar) sehingga beralih kepada tamadun agrarian (Pusat-pusat penduduk yang berkembang di sekitar aktiviti pertanian seperti Sumatera Barat dan Jawa Tengah dan Timur). Penjajah barat khususnya Portugis dan kemudian Belanda telah memonopoli aktiviti perdagangan antarabangsa sehingga membunuh kelestarian kerajaan-kerajaan Islam pesisiran pantai yang selama ini berkembang seiring dengan aktiviti ekonomi. Menurut Ahmad Mansur Suryanegara, penjajahan Belanda ke atas Indonesia tertangguh selama dua abad lamanya sejak pertengahan abad ke 17 kerana penentangan yang sengit dari umat Islam. Kerajaan-kerajaan laut menghabiskan begitu banyak sumber dan terlibat dengan peperangan yang kerap dengan Portugis dan kemudian Belanda untuk menghalang perluasan kuasa-kuasa imperialis tersebut. Keadaan ini sedikit sebanyak melemahkan kekuasaan politik dan ekonomi kerajaan pesisiran pantai dan membuka laluan kepada penjajahan Belanda di beberapa bahagian kepulauan Indonesia pada kurun ke 19.[1]

Maka tidak sukar untuk mengaitkan kepesatan pengembangan Islam dengan kerajaan-kerajaan laut yang sentiasa terdedah kepada dakwah/tabligh Islam yang ‘alami (universal) sifatnya. Namun proses pengembangan Islam ini tidak terbantut meskipun pelabuhan-pelabuhan penting dan laluan perdagangan laut yang utama dikuasai oleh penjajah barat. Sebaliknya arus dakwah Islam ini berkembang pula dari kawasan pesisir ke kawasan pendalaman dengan dinamikanya yang tersendiri. Bahkan kita boleh menyimpulkan bahawa proses penjajahan ke atas kerajaan Islam pesisiran inilah yang telah mempercepatkan proses pengislaman ke kawasan pendalaman (hinterlands).[2]

Pertumbuhan tamadun agrarian susulan dari kejatuhan kuasa politik kerajaan laut ini telah melahirkan institusi pengajian Islam yang terpusat iaitu pesantren atau disebut dengan pelbagai nama seperti pondok dan dayah di bawah kepimpinan dan ketokohan ulama setempat. Institusi Pendidikan yang bersifat lokal ini bukan sahaja menjadi benteng akidah umat Islam dari asakan program pengkristianan penjajah tetapi terus mendapat input yang segar berupa suntikan-suntikan pembaharuan atau islah dari pusat-pusat pengajian Islam di Timur Tengah. Apabila para santri (pelajar dan guru) pesantren menyambung pengajian di Mekah mereka dikaitkan dengan ide atau gagasan yang disebut oleh barat sebagai pan Islam[3] (seluruh umat Islam bernaung di bawah Khalifah Islam di Turki dan mereka wajib berjihad membebaskan semua negara umat Islam dari penjajah barat yang kafir). Mereka juga membawa semangat revival atau pembaharuan untuk membersihkan amalan agama dari pelbagai penyelewengan, bid’ah, takhyul dan khurafat seperti yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang kemudiannya terjelma sebagai aliran Wahabbi di tanah Arab.[4] Akhir kurun ke 19 dan 20 juga menyaksikan kemunculan tiga tokoh besar dunia Islam iaitu Syeikh Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Rida’ yang menyeru supaya umat Islam bangkit dari kejumudan dan kelesuan yang menyebabkan tanah air mereka dijajah oleh musuh-musuh Islam.[5] Mereka juga menggesa umat Islam supaya menguasai ilmu pengetahuan yang dikembangkan oleh dunia barat kerana ia seiring dengan tuntutan Islam untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Penyuburan fikrah Islami yang ‘alami (universal) sifatnya ini juga ada kaitan dengan pembukaan terusan Suez pada pertengahan kurun ke 19 yang menatijahkan pergerakan umat Islam yang lebih bebas termasuk mengerjakan haji dan pertukaran ide pengislahan (perubahan) yang lebih lancar. Senario global ini menjadikan pesantren sebagai pusat umat Islam untuk membangun akidah, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mempelopori jihad menentang penjajahan barat. Kedudukannya dalam lingkungan pertanian atau jauh dari bandar pelabuhan yang maju dan pesat tidak menghalang ia menjadi pusat mengumpul kekuatan umat Islam (rallying point). Tidak hairanlah kurun ke 19 yang menyaksikan usaha penjajah Belanda untuk menundukkan kawasan pendalaman kepulauan Hindia dijawab dengan jihad. Tiga kebangkitan besar yang dipelopori dari pesantren dalam menentang penjajah Belanda pada abad yang ke 19 ialah Perang Padri di Sumatera Barat (1825 - 1837), Perang Diponogoro di Jawa Tengah (1825 - 1830) dan Perang Aceh (1873 - 1905). Clifford Geertz menyebut siri-siri kebangkitan ini sebagai 'santri insurrections'.[6]

_____________


[1] Ahmad Mansur Suryanegara, Menemukan Sejarah: Wacana Pergerakan Islam di Indonesia, Penerbit Mizan, Bandung, 1995, hlm. 129.

[2] Alfred Thayer Mahan dalam bukunya The Influence of Sea Power upon History membentuk sebuah hipoteis iaitu ‘ada tidaknya sejarah tergantung kepada kekuatan lautnya’. Hipotesis ini mungkin dapat dipertahankan jika yang menjadi ukuran ialah kekuatan ekonomi dan politik semata-mata, sedangkan sejarah jatuh-bangun sesebuah bangsa ditentukan oleh nilai-nilai yang lebih tinggi seperti akhlak dan kemanusiaan. Ternyata sejarah umat Islam tidak terbantut di nusantara dengan penguasaan ekonomi dan politik oleh penjajah barat bahkan semakin berkembang. (pen.) Lihat Alfred Thayer Mahan, The Influence of Sea Power Upon History, 1660 – 1783, Boston, Little, Brown and Co., 1918, 557 hlm.

[3] Istilah Pan-Islam digunakan oleh kuasa-kuasa barat dalam konteks apa yang dikatakan sebagai pendekatan politik Kerajaan Turki Uthmaniah yang semakin lemah untuk mengkosolidasi kedudukan wilayah Islam yang terancam oleh pengluasan kuasa-kuasa Eropah khususnya Peranchis, British dan Rusia menjelang abad ke 20. Kaedah perlaksanaannya adalah dengan menghidupkan kembali jihad di tanah air umat Islam. Dasar politik ini dikaitkan dengan Sultan Abdul Hamid II, khalifah Uthmaniyah yang terakhir. Lihat Kemal H. Karpat, Ifta and Kaza: The Ilmiye State and Modernism in Turkey, 1820 – 1960, hlm. 25 – 42, dalam Colin Imber & Keiko Kiyotaki (eds.), Frontiers of Ottoman Studies, Vol. 1, I.B. Tauris, London – New York, 2005. 294 hlm. Pengertian Pan-Islam secara klasik adalah penyatuan seluruh dunia Islam di bawah satu kekuasaan politik yang dikepalai oleh seorang khalifah. Apabila sebahagian besar negara Islam terjajah, maka pengertian Pan-Islam itu merangkumi ikatan setia atau ukhuwah islamiah di antara umat Islam seantero dunia. Pengertian yang longgar ini juga dilihat sebagai satu ancaman oleh penjajah kerana umat Islam akan bangkit membela saudaranya yang dijajah atau ditindas di mana-mana negara sekalipun. Kekhuatiran bangsa Eropah terhadap Pan-Islam ada asasnya kerana apabila pecah perang dunia pertama, Turki memehak kepada Jerman untuk memerangi kuasa bersekutu British dan Peranchis. Khilafah di Istanbul telah mengeluarkan seruan Fatwa Jihad-i-akbar Fardh Ain di mana di negara-negara Islam perlu dibentuk gerakan suci (jihad), baik bersifat rahsia ataupun secara terang-terangan. (Pengumuman ini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Nasional Pembelaan Khalifah yang ditujukan kepada seluruh umat Islam pada tahun 1333H/1914M). Lihat Husnul Aqib Suminto, Politik Islam Hindia Belanda, Lembaga Penelitian Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial, Jakarta, 1985, hlm. 80 – 81.

[4] Syeikh Muhammad Abdul Wahab dilahirkan pada 1703 di Nejd, Jazirah Arab. Beliau hidup di zaman umat Islam terlibat dengan amalan syirik dan khurafat seperti meminta dari kubur orang-orang alim termasuk kubur para sahabat Nabi r.a. Penyewengan akidah dan keruntuhan akhlak berlaku di dunia Islam termasuk di Mekah dan Madinah. Umat Islam juga berpegang dengan ajaran tasauf yang menyimpang. Syeikh Muhammad Abdul Wahab telah dibantu oleh Amir Muhammad Ibnu Saud untuk memurnikan semula amalan keagamaan umat Islam dengan membanteras pelbagai amalan khurafat dan syirik. Syeikh Muhammad Abdul wahab dituduh mereka-reka mazhab baru oleh musuh-musuhnya. Beliau difitnah dengan hebat dan musuh-musuhnya menamakan pengikutnya sebagai Wahabbiyah. Pergolakan politik yang berlaku selepas kematian Amir Abdul Aziz mencetuskan permusuhan dengan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perpecahan di kalangan umat Islam dan persekongkolan di antara raja Ibnu Saud dengan musuh-musuh Islam sehingga didakwa menjadi punca kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah menimbulkan kebencian kepada pengikut Wahabbiyah. Lihat Maryam Jameelah, Suka-Duka Gerakan Islam Dunia Arab, Penerbitan Gedung Ummah, Terengganu, 1984, hlm. 2 – 8; Aliran islah Syeikh Muhammad Abdul Wahab berkembang subur di Sumatera Barat pada kurun ke 19. Lihat nota 57.

[5] Apabila umat Islam semakin lemah dari sudut politik dan sosioekonomi sehingga berakhir dengan kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah pada tahun 1924, kemahuan untuk mengukuhkan kembali jatidiri umat Islam telah melahirkan beberapa aliran intelektual untuk berhadapan dengan kemajuan tamaddun barat. Aliran-aliran intelektual ini boleh dibahagikan kepada tiga aliran besar. Yang pertama ialah aliran ortodoks terdiri dari Wahabbiyah, Mahdiyah dan Sanussiyah yang menolak kemajuan barat dan mempertahankan ajaran Islam dalam bentuk yang tradisional. Aliran yang kedua mewakili pemikiran sekular yang menolak ajaran tradisi Islam dan menggesa supaya meniru model tamaddun barat yang moden. Aliran yang ketiga ialah aliran pengislahan (reform atau Islamic revivalism) yang dipelopori oleh Syeikh Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Rida’ yang melihat kekuatan Islam dengan menggabungkan prinsip akidah dan syariat Islam bersama dengan kemajuan ilmu pengetahuan barat. Lihat Syeikh Jameil Ali, Sayyid Jamal Al Din Al Afghani and the West, Adam Publishers and Distributors, New Delhi, India, 2002, 127 hlm, juga lihat Emad Eldin Shahin, Through Muslim Eyes: M. Rashid Rida’ and the West, International Islamic Publishing House and The International Institute of Islamic Thought, Herndon, Virginia, USA, 1991, 102 hlm. Riwayat hidup dan perjuangan Syeikh Jamaluddin al Afghani boleh dirujuk dalam Umar Hasyim, Mencari Ulama Pewaris Nabi: Selayang Pandang Sejarah Para Ulama, Penerbit Pustaka Nasional (Singapura), 1980, hlm. 125 – 133.; HAMKA, Said Djamaluddin al Afghani, Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, 1970, 176 hlm.; Untuk maklumat tentang Syeikh Muhammad Abduh lihat Khairul Anam Che Mantri ‘Ammar Gazali, al-Ustadh al-imam Muhammad ‘Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran, Middle-Eastern Graduate Centre Sdn. Bhd. (MEGC), 2006, 129 hlm. Untuk maklumat tentang pengaruh Jamaluddin al Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida di nusantara khususnya di Sumatera Barat lihat HAMKA, Ayahku, Penerbit Jayamurni, Jakarta, 1967, hlm. 90 – 105; rujukan tentang pelbagai aspek pengaruh pemikiran Syeikh Muhammad Abduh di Tanah Melayu khususnya boleh dirujuk dalam (diselenggara oleh) Farid Mat Zain dan Ismail Baha, Muhammad ‘Abduh dan Masyarakat Melayu, Prosiding Simposium Sejarah Pemikiran Politik Islam II, Jab. Pengajian Arab dan Tamaddun Islam, Fak. Pengajian Islam, Univ. Kebangsaan Malaysia, 2007, 235. hlm.

[6] Istilah ini digunakan oleh Clifford Geertz untuk merujuk kepada empat pemberontakan (kabangkitan; pen.) iaitu Perang Padri di Sumatera Barat (1821 – 1828; sebenarnya Perang Padri berakhir pada tahun 1837); Perang Diponogoro di Jawa Tengah (1825 – 1830); Barat Laut Jawa (1840 – 1880; Menurut Ahmad Mansur Suryanegara ia adalah siri-siri kebangkitan umat Islam Banten kerana menentang polisi Tanam Paksa Belanda Culturstetel pada tahun 1834, 1836, 1842, 1849, 1880 dan 1888); dan Aceh (1873 – 1903). Lihat Clifford Geertz, the religion of java. Glencoe, The free press. 1960; Ahmad Mansur Suryanegara, op. cit., hlm. 130 – 131.

No comments:

Post a Comment